Nak tahu waktu terbaik balik kampung? Guna aplikasi ini
Orang ramai boleh menggunakan aplikasi MYPLUS-TTA untuk melihat waktu sesuai pulang ke kampung atau kembali ke ibu kota selepas menyambut Aidilfitri.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, aplikasi tersebut antara lain berfungsi untuk merancang perjalanan ketika di musim perayaan.
“Lebih mudah, boleh terus layari aplikasi ini daripada aplikasi MYJalan kendalian Kementerian Kerja Raya.
“Sambil rancang perjalanan, kalau nampak sebarang kerosakan di jalan raya, boleh terus buat aduan. Mudah dan cepat,” katanya di Facebook.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit menyalurkan maklumat berkaitan persiapan untuk perjalanan pulang ke kampung dan juga penerangan mengenai lebuh raya seperti tol percuma dan penggunaan ‘Smart Lane’.
Pada 30 Januari lalu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melancarkan aplikasi digital dikenali MyPLUS-TTA bagi kemudahan pengguna lebuh raya merancang perjalanan semasa musim perayaan.
MyPLUS-TTA membantu mengoptimakan pengagihan trafik untuk mengurangkan risiko kesesakan lalu lintas dan meningkatkan keselesaan perjalanan pengguna.
Menurut Nanta Linggi, apa yang lebih menarik adalah, menerusi aplikasi itu pengguna lebuh raya dapat memilih waktu perjalanan berdasarkan plaza tol masuk dan plaza tol keluar dan memilih waktu perjalanan yang bersesuaian.
BACA LAGI: Menjelang Aidilfitri: Menteri sekali lagi ingatkan ‘Smart Lane’ lebuh raya diaktifkan
Â