Selepas fitnah larangan Qunut Nazilah di sekolah, bekas guru ini ditegur panggil kafir

Seorang bekas guru yang kontroversi dengan fitnah kononnya wujud arahan atasan melarang Qunut Nazilah di sekolah sewaktu Minggu Solidariti Palestin, kini jadi perhatian lagi susulan komennya yang memanggil kafir.

Ia berikutan respon Mohd Fadli Salleh terhadap komentar seorang individu bukan Muslim yang menggunakan akaun Facebook, Ginnens Goh.

“Mohd Fadli Salleh sebagai bekas guru, bukankah perlu berfikiran sederhana? Ini cara betul untuk mendidik generasi muda?” soal Goh.

Namun, jawapan balas Fadli yang sebelum ini kerap tular kerana banyak mengkritik sistem pendidikan negara dilihat mengejutkan:

“Ginnens Goh diam la kafir. Aku tak kacau agama kau, jangan kau menyibuk urusan agama aku,” tulis Fadli.

Susulan itu, pengamal undang-undang, Liyana Marzuki menasihatkan Fadli yang sebelum ini mengumumkan bersara awal pada Februari lalu.

Berikut teguran penuh Liyana:

Brother Ginnens Goh tu bukan cybertrooper. Hanya rakyat Malaysia berlainan agama yang bertanya.

Dia tidak langsung biadap atau kurang ajar. Komen beliau tiada langsung perlekehkan Islam.

Datang cikgu pencen terus suruh dia diam, siap pakej panggil dia kafir.

Teringat 2 minggu lepas, ada Mufti kata mana ada orang Islam panggil non-Muslim kafir. There you go…

Orang non Muslim susah nak kenal Islam melalui Al-Quran dan hadis. Mereka kurang akses.

Mereka lebih senang mengenali Islam melalui kelaku dan tindak tanduk Muslim sendiri.

Kalau macam ni, apalah pandangan mereka terhadap kita?

Eh, lupa. Cikgu pencen cakap orang tak bertudung tak layak bersuara.

Bila set-set terpaling, merasakan syurga hanya layak untuknya. Orang lain semua pendosa.

Fadli Salleh merupakan individu sama yang terlibat dalam kontroversi ‘kafir’ yang melibatkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Goh pula mempertahankan Fadhlina.

BACA JUGA Nak raya tapi ‘api’ tiada di Kelantan, TNB sedia 88 generator atasi gangguan elektrik