Tumpu perhatian ke arah perpaduan, titah Agong kepada pimpinan Umno, DAP

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mahu pimpinan politik menumpukan perhatian terhadap usaha ke arah perpaduan.

Ini adalah rentetan dari perkembangan semasa yang menyentuh isu sensitiviti agama dan kaum.

“Saya ingin menasihati semua pihak untuk memberi tumpuan untuk mengajak rakyat ke arah perpaduan, bukannya perpecahan. Saya ingin melihat rakyat bersatu padu dengan harmoni,” titah Sultan Ibrahim.

“Saya berharap pemimpin politik tidak ekstrim dalam memberikan pandangan tentang isu-isu agama dan perkauman. Bukan hanya Umno dan DAP, tetapi juga semua parti. Pemimpin mesti menjadi jambatan atau penghubung antara rakyat majmuk negara kita dengan contoh perilaku yang matang.”

“Kejadian baru-baru ini sepatutnya membuka mata semua pihak bahawa semua lapisan rakyat mempunyai tanggungjawab menjaga perpaduan negara. Perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat akan menjadi pemangkin kepada kesejahteraan sejagat Malaysia,” titah baginda.

Baginda berkata demikian ketika pimpinan Umno dan DAP mengadapnya.

Pimpinan Umno terdiri daripada Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan ketua pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh.

DAP pula diwakili timbalan setiausaha agung DAP, Liew Chin Tong.

BACA JUGA: