Ahmad Faizal cipta persepsi atau ada udang di sebalik batu?

Semalam Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberikan bayangan berkenaan calon mereka di dalam pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu yang akan berlangsung sebulan dari sekarang.

“Perikatan Nasional apabila menghantar calon, beliau adalah calon PN, bukan calon daripada Bersatu, bukan calon daripada Gerakan, bukan calon daripada Pas, beliau adalah calon Perikatan Nasional.

“Jadi persoalan datang dari parti mana, tidak timbul,” kata beliau, lapor Astro Awani.

Ada dua kesimpulan yang boleh diputuskan daripada kenyataan Ahmad Faizal.

Pertama, Ahmad Faizal mahu mencipta persepsi bahawa parti komponen PN utuh, bersatu padu dan bergerak sebagai satu unit.

Namun umum mengetahui bahawa Bersatu telah berdepan dengan krisis wakil mereka menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pas pula sempoi meneruskan agenda memikat pengundi Melayu Islam.

Gerakan pula hidup segan mati tak mahu di dalam pakatan pembangkang tersebut.

Kenyataan Ahmad Faizal memberi persepsi bahawa sesiapa pun dari parti komponen PN boleh dicalonkan dalam pilihan raya kecil di KKB.

Kedua, kenyataan orang nombor dua Bersatu ini memberikan gambaran penambahan komponen PN. Parti terbaharu ini akan menyertai PN secara tidak lama lagi.

Dalam artikel sebelum ini, penulis sudah pun menyatakan bahawa Gerakan tidak semestinya menggalas cabaran melawan DAP di Kuala Kubu Baharu.

Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) mempunyai peluang untuk bertanding di dalam pilihan rayanya yang pertama selepas menyertai PN secara rasmi.

Perkara ketiga yang difahami ialah laporan kajian prestasi DAP di dalam pilihan raya negeri tahun lepas.

Laporan yang ditulis oleh mantan Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming, antara lain mendapati bahawa 80 peratus undi Melayu yang secara tradisinya menyokong BN telah berpindah kepada PN.

Beliau turut meramalkan perubahan demografi pengundi akan menjejaskan peluang DAP dalam pilihan raya pada masa hadapan.

Berbalik kepada pilihan raya kecil KKB, kawasan ini merupakan kerusi campuran.

Pecahan pengundi mengikut kaum di KKB ialah Melayu 46.4%, Cina 30.7%, India 18% dan lain-lain 5%.

Dalam keadaan undi Melayu lebih cenderung kepada PN dan undi Cina cenderung kepada PH, maka PN akan berusaha menyunting undi pengundi India.

BACA JUGA: Pertarungan di Kuala Kubu Baharu: Siapa lawan siapa?