Siapa kata Raya tak meriah, Sungai Petani tunjukkan bukti
Sambutan Aidilfitri bagi sesetengah pihak di Kedah dikatakan suram kerana masalah air dan sebagainya namun sambutan tidak kurang meriah.
Ini dibuktikan menerusi letupan bunga api dan mercun di Dataran Jam Besar Sungai Petani kelmarin.
Tindakan penjaja membakar bunga api pada waktu subuh menyebabkan letupan berlaku pada kira-kira 4.48 pagi.
Beberapa anak muda yang dipercayai penjaja bunga api dan mercun membakar bahan tersebut untuk berseronok.
“Namun bekas bunga api yang dibakar itu dikatakan terbalik menyebabkan letupan jadi tidak terkawal sehingga percikannya membakar sejumlah bunga api dan mercun lain yang dipamerkan di atas meja jualan penjaja terbabit,” kata seorang saksi yang enggan dikenali, lapor Kosmo.
Katanya, dia yang berniaga di bazar di situ bersama beberapa peniaga lain terus bergegas ke lokasi untuk membantu penjaja itu selepas keadaan menjadi tidak terkawal.
“Saya dan beberapa individu bertindak membasahkan kain dan menutup bahagian meja yang mengandungi bunga api dan mercun yang terbakar itu. Kami bersyukur tindakan itu berjaya menghalang letupan dan kebakaran daripada terus merebak,” ujarnya.
Hakikat bahawa ramai penjaja membuka meja jualan bunga api memburukkan lagi kejadian tersebut.
Kejadian tersebut sedang disiasat polis.
BACA JUGA: De Fam terkejut Alamak Raya Lagi tular ke luar negara, lagu tahun 2022