Warga Israel akan didakwa esok

Lelaki warga Israel Shalom Avitan, 36, yang ditahan bersama enam pistol dan 200 peluru di sebuah hotel di sini pada 27 Mac lalu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

“Suspek utama itu yang dalam tahanan reman akan dibawa ke mahkamah esok untuk pertuduhan.

“Sementara suspek yang masih dalam tahanan akan disambung reman bagi membantu siasatan,” katanya.

Avitan yang juga memiliki pasport Perancis ditahan di hotel mewah di Jalan Ampang selepas didapati mempunyai enam jenis pistol dan 200 peluru pada 27 Mac.

Pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun turut diberkas di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor, pada 29 Mac, yang disyaki menjual enam senjata api kepadanya selain membawa kepada penemuan sepucuk lagi pistol di dalam beg sandang dalam kereta milik pasangan terbabit.