Razali jahil undang-undang, dakwa Syed Abu Hussin

Datuk Syed Abu Hussin Hafiz (PN-Bukit Gantang) mengecam ketua penerangan Bersatu Datuk Razali Idris sebagai jahil undang-undang ekoran dakwaan Razali bahawa keahlian keenam-enam ahli Parlimen dan seorang Adun Bersatu di dalam parti tergugur secara automatik.

“Ketua penerangan Bersatu ini tak tahu undang-undang. Saya cadangkan Bersatu tukar ketua penerangan, cari yang cerdik sikit,” katanya, lapor Malaysiakini.

Mengulas kenyataan Razali bahawa ketujuh-tujuh pemimpin itu, termasuk dirinya perlu mengosongkan kerusi kawasan masing-masing dan tidak menunggu surat pemecatan, Syed Abu Hussin Hafiz berkata pindaan perlembagaan parti itu mempunyai proses lanjutan.

“Jadi ketua penerangan Bersatu tak faham undang-undang, dia ini mesti ada ilmu, kenyataan dia seolah-olah tak reti.

“Pindaan perlembagaan parti ini mesti ada proses. Baru dapat kelulusan. Perkara itu mesti ada prosedur selanjutnya seperti langkah-langkah yang patut diambil.

“Sudah lulus pindaan, kamu pergi dengan proses kamu dan kami dan kami pun pergi proses kami.

“Ini nak cabar anak jantan anak betina kosongkan kerusi bukan begitu. Ini cakap macam dalam kedai kopi, sebab itu saya berkata Bersatu teruk, ketua penerangan tak tahu undang-undang,” katanya lagi.

Razali hari ini dilaporkan sebagai berkata keahlian wakil rakyat berkenaan tergugur selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan usul pindaan perlembagaan parti itu pada 2 April lalu.

Bersatu telah meminda perlembagaan pada 2 Mac untuk melucutkan keahlian wakil rakyat mereka sekiranya mereka menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.