PN akhirnya akur bertemu TPM bincang peruntukan pembangkang

Selepas lebih setahun Perikatan Nasional enggan berbincang dengan kerajaan mengenai peruntukan kepada pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akhirnya dilaporkan telah pun bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri untuk memohon peruntukan wakil rakyat blok itu.

Selaku ketua pembangkang, Hamzah dilaporkan hadir dengan Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee untuk membincangkan isu peruntukan terbabit.

Perkara tersebut disahkan TPM, Datuk Seri Fadillah Yusof yang memberitahu pemimpin PN sudah berjumpa dengannya di Parlimen pada 19 Mac lalu.

Susulan itu katanya, Kerajaan Perpaduan akan mengadakan mesyuarat peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada Rabu ini bagi membincangkan isu pengagihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

“Saya tanya apa kemahuan mereka? Beliau (Hamzah) kata mereka mahu peruntukan dan apa sahaja syarat itu terserah kepada kerajaan.

“Saya maklumkan kepada mereka perkara itu akan dibawa ke perbincangan di peringkat Majlis Perpaduan Kerajaan Madani (Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan) untuk mengemukakan apa yang dihasratkan oleh mereka,” katanya memetik Berita Harian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Parlimen Petra Jaya di Kuching hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, apabila Hamzah menyerahkan kepada kerajaan untuk meletakkan syarat, pihaknya hanya akan memutuskannya, termasuk jumlah peruntukan yang akan diberi dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan nanti.

Bagaimanapun, katanya, beliau agak terkejut selepas perjumpaan dengan tiga pemimpin PN itu, beberapa kenyataan daripada Ahli Parlimen blok pembangkang mendakwa sebelum ini sudah ada perjanjian dikemukakan oleh wakil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tetapi saya sendiri pun tidak tahu (mengenai perjanjian dikemukakan wakil Perdana Menteri) dan saya mendapatkan pengesahan daripada Perdana Menteri dan beliau juga kata tidak ada.

“Jika itulah apa yang mereka kata, berbincanglah dengan wakil Perdana Menteri itu (seperti yang didakwa), tak perlulah bincang dengan saya lagi,” katanya memaklumkan memang tidak mengetahui siapa wakil Perdana Menteri yang dimaksudkan itu.

BACA JUGA Sanusi sempoi mohong bab ayaq