Isu tadah tangan ketika berdoa: Apa motif Pemuda Pas? – Exco Johor
Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Exco Johor mempersoalkan motif seorang pemimpin muda Pas yang memuat naik entri di media sosialnya didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, Jumaat lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah, berkata tindakan berkenaan disifatkan biadap kerana memperlekeh serta membuat dakwaan tidak berasas terhadap institusi diraja khususnya Yang di-Pertuan Agong.
Mohd Hairi yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO berkata, walaupun status itu dikatakan sudah dipadam, namun terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
“Saya tertanya-tanya apa motif Hezry Yasin, Pemuda Pas Selangor ini yang bertindak biadap hingga memperlekeh Yang di-Pertuan Agong.
“Ini ke pewaris anak muda parti yang kononnnya memperjuangkan Islam? Sampai institusi diraja pun dibuat bahan tohmahan secara umum.
“Isu berkaitan sensitiviti agama, bangsa dan institusi raja-raja (3R) terus berlaku ibarat tiada berkesudahan.
“Namun, isu ini ibarat bermusim dan sering kali timbul, sehingga membawa kepada elemen provokasi dan modal politik murahan sesetengah pihak,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Sehubungan itu, tegas Hairi, kerajaan perlu ada kehendak politik yang tinggi dalam meletakkan pendirian, sekali gus menguatkuasakan dasar supaya insiden provokasi seperti itu tidak terus berulang.
Terdahulu, Hezry menerusi hantaran di Facebook berkata, dia tidak menadah tangan ketika doa dibaca untuk Sultan dan Agong ketika solat Jumaat, kelmarin.
Hezry yang juga Pengarah Media Baharu Pemuda Pas Selangor juga mendakwa doanya hanya diberi kepada pemimpin yang meletakkan agama sebagai nombor satu dan memperjuang serta mempertahan Islam ketika agama diancam.
Bagaimanapun, kenyataan itu kemudian dilihat sudah dimuat turun.
BACA JUGA Gempar tembakan di KLIA, ini penjelasan polis
Â