Kenyataan Akmal bukan konteks yang betul bagi Kerajaan Perpaduan – PMX

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan gelaran Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bukan konteks yang betul bagi Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri berkata beliau tidak akan melayan kenyataan Akmal yang menggelar Kor Ming sebagai “bodoh” dan menjadi punca keadaan ekonomi lemah.

“Saya tidak melayan kenyataan seperti itu. Pada fikiran saya, ia bukan konteks yang betul bagi Kerajaan Perpaduan kita.

“Kita harus bekerjasama,” katanya.

Dr Akmal Saleh

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian kepada media selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa dan Majlis Sambutan Kelahiran Dr Ambedkar ke-133 tahun di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, Akmal yang juga Exco kerajaan negeri Melaka berkata, ketika zaman pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, ekonomi tetap naik dengan baik walaupun ada kempen boikot dilakukan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkenaan berkata, ekonomi negara menjadi teruk sebab ada menteri yang macam Kor Ming.

Akmal berkata demikian selepas pemimpin DAP itu membuat kenyataan bahawa akibat boikot yang dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, pekerja-pekerja terpaksa menanggung sengsara.

Sebelum ini, Akmal melancarkan boikot kepada KK Mart selepas pasar raya serbaneka itu menjual stoking tertera kalimah Allah.

BACA JUGA Bila Cina bantu Melayu lancarkan jalan di Hari Raya