Malaysia pantau rapat perkembangan konflik Iran-Israel

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan kini sedang memantau rapat perkembangan konflik Israel-Iran dan kedudukan pasaran kewangan, termasuk potensi dampak terhadap Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya akan bertindak dengan bijaksana bagi memperkukuhkan kestabilan ekonomi dan kewangan negara.

“Kerajaan juga mengambil kira sebarang faktor yang mungkin memberi kesan kepada rakyat Malaysia.

“Malaysia berpendirian bahawa semua pihak harus memainkan peranan untuk memastikan ketegangan di Timur Tengah tidak terus memuncak demi kepentingan dan keamanan sejagat.

“Semua pihak mesti berusaha untuk mencapai penyelesaian dengan menamatkan pertelingkahan di rantau tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook beliau, sebentar tadi.

Terdahulu, Anwar memaklumkan beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan pegawai tertinggi kerajaan bertujuan membincangkan situasi terkini di rantau Timur Tengah itu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menyifatkan, sebarang jalur penyelesaian yang dipilih tidak akan berkekalan sekiranya keganasan yang sedang berlaku ketika ini, tidak ditamatkan dalam kadar segera.

Walaubagaimanapun katanya, Malaysia kekal teguh dengan pendiriannya untuk bersama dengan warga Palestin yang terus menanggung derita daripada kemelut berkenaan.

“Sekarang adalah ketikanya untuk semua pihak memainkan peranan dalam mendesak untuk menamatkan ketegangan,” ujar pemimpin berusia 76 tahun itu.

Laporan media sebelum ini menyebut, serangan Iran ke atas Israel itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas bangunan konsulat Iran di Damsyik, Syria pada 1 April lalu.

Serangan berkenaan telah mengorbankan tujuh Pengawal Revolusi termasuk dua daripadanya adalah jeneral.

Tehran sejak itu berikrar membalas dendam terhadap serangan yang didakwa dilakukan Israel.