Tragedi kereta kabel Turkiye: Wisma Putra sahkan tiada rakyat Malaysia terlibat

Kementerian Luar Negeri mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia terbabit dalam kemalangan kereta kabel di daerah Antalya, selatan Turkiye, pada petang 12 April lalu.

Kementerian Luar memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, sedang memantau secara rapi mengenai perkembangan kejadian berkenaan.

“Kerajaan Malaysia merakamkan simpati kepada mangsa dan keluarga yang terjejas.

“Kedutaan Besar Malaysia di Ankara sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Kelmarin, dilaporkan sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan tujuh cedera manakala hampir 200 yang lain terkandas dalam kabin di udara apabila tiang yang menyokong kereta kabel tumbang di Antalya.

Imej di media Turkiye menunjukkan kereta kabel yang rosak ‘tergantung’ di sisi gunung berbatu, manakala kakitangan perubatan merawat mangsa yang cedera.

Datuk Bandar Antalya, Muhittin Bocek dalam kenyataan memaklumkan, beberapa helikopter yang dilengkapi dengan peralatan penglihatan malam telah dipanggil bagi menyelamatkan 184 orang yang masih terkandas di dalam beberapa kabin dalam sistem kereta kabel tersebut.

Menteri Dalam Negeri Turkiye Ali Yerlikaya pula berkata, kematian dan kecederaan berlaku apabila salah satu kabin dalam sistem kereta kabel di Sarisu-Tunektepe terjatuh ke dalam kawasan berbatu selepas tiang itu tumbang.

Kereta kabel itu dilapor membawa pelancong dari pantai Konyaalti ke restoran dan platform melihat di puncak Tunektepe setinggi 618 meter.

BACA JUGA Gempar tembakan di KLIA, ini penjelasan polis