BNM bersedia pastikan pasaran kewangan negara kekal teratur

Bank Negara Malaysia (BNM) bersedia menggunakan instrumen yang ada bagi memastikan pasaran kewangan negara kekal teratur dan terus berfungsi secara cekap dalam keadaan ketegangan geopolitik yang berterusan.

BNM berkata, pihaknya terus memantau keadaan pasaran kewangan dengan teliti dan akan menguruskan sebarang risiko yang berpunca daripada volatiliti pasaran kewangan.

”BNM telah mengadakan sesi libat urus dengan peserta pasaran kewangan, termasuk ketua operasi perbendaharaan, yang bersetuju bahawa sebarang ketidakpastian akan berkurang dan menjadi stabil apabila keadaan ketegangan geopolitik semakin reda,” maklum bank pusat itu dalam kenyataan, hari ini.

Menurut BNM lagi, operasi pasaran BNM akan memastikan mudah tunai yang memadai serta pasaran pertukaran asing berfungsi secara teratur.

”Hal ini disokong oleh inisiatif berterusan yang sedang dilaksanakan bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat korporat dan pengeksport untuk terus membawa masuk aliran dan mudah tunai ke dalam pasaran pertukaran asing,” katanya menerusi kenyataan sama.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan kini sedang memantau rapat perkembangan konflik Israel-Iran dan kedudukan pasaran kewangan, termasuk potensi dampak terhadap Malaysia.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pihaknya akan bertindak dengan bijak bagi memperkukuhkan kestabilan ekonomi dan kewangan negara dan mengambil kira sebarang faktor yang mungkin memberi kesan kepada rakyat Malaysia.

Perkara tersebut diputuskan selepas Anwar mengadakan pertemuan petang semalam dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan pegawai tertinggi kerajaan bertujuan membincangkan situasi terkini di rantau Timur Tengah itu.