Ini sebab kenapa KKM arah henti jualan ‘Kingu Ginseng Candy’

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan Agensi Makanan Singapura (SFA) terhadap ‘Kingu Ginseng Candy’ yang dikesan mengandungi tadalafil.

Tadalafil adalah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil, atau mati pucuk.

KKM dalam kenyataan memaklumkan, ubat-ubat yang mengandungi tadalafil hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi
doktor.

”KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) telah
menjalankan siasatan dan saringan awal mendapati produk ini dijual
secara dalam talian di platform Lazada.

”Hasil siasatan juga mendapati label produk tersebut tidak mematuhi kehendak-kehendak pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu tiada nama dan alamat pengilang, pembungkus, pengedar, empunya hak untuk mengilang, pengimport.

”Sehubungan itu, kami telah mengarahkan Lazada untuk memadam kandungan iklan dan penjualan produk secara serta-merta.

“KKM menegaskan bahawa status keselamatan segala produk yang disyaki diaduk dengan racun berjadual seperti tadalafil di pasaran akan dipantau dari semasa ke semasa dan tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mereka yang terlibat,” katanya.

KKM memaklumkan penggunaan tadalafil tanpa pengawasan pakar boleh membawa kepada masalah kesihatan serius seperti masalah penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat berbahaya serta kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

”Menurut Seksyen 13, Akta Makanan 1983, mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan.

”Apabila disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya lagi.

Sekiranya pengguna mempunyai kemusykilan mengenai sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana pejabat atau jabatan kesihatan terdekat atau layari laman sesawang PKKM.

BACA JUGA Lelaki lepaskan tembakan di KLIA akhirnya ditangkap di Kota Bharu