Jenayah perang Israel: Dunia tidak boleh bertolak ansur – AMK

Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menyeru masyarakat antarabangsa untuk menilai krisis yang berlaku di Timur Tengah berdasarkan sudut pandang yang adil dan saksama.

AMK dalam kenyataan menyifatkan, sebarang bentuk peperangan akan membawa kerugian kepada semua pihak.

Katanya, konteks di Timur Tengah ketika ini memerlukan sebuah pendekatan yang berbeza bersandarkan kepada fakta dan keadaan semasa.

”Serangan ke atas Misi Diplomatik Iran di Damsyik pada 1 April lalu telah mengorbankan 18 nyawa termasuk dua pegawai tinggi tentera.

”Ia perlu dinilai sebagai satu jenayah perang yang dilakukan oleh tentera penjajah Israel, rentetan serangan terhadap bumi Palestin yang meragut nyawa seramai 33,000 orang, serta memungkinkan krisis kebuluran kritikal dalam masa terdekat.

”Kami juga benar-benar kesal dengan sikap yang tidak konsisten Amerika Syarikat (AS) yang mengulangi komitmen ‘ironclad’ bagi melindungi keselamatan Israel, tetapi terus membisu terhadap pelanggaran berkali-kali oleh rejim Zionis,” katanya.

Dalam kenyataan itu, AMK berharap untuk melihat tindak balas yang tegas daripada komuniti antarabangsa, terutamanya AS dan sekutu berhubung serangan ganas Israel di Syria dan Palestin.

Menurut AMK lagi, pelanggaran undang-undang antarabangsa secara berterusan oleh Israel dan sikap membisu AS serta sekutunya adalah sangat membimbangkan.

”Kami menuntut agar dunia tidak boleh bertolak ansur dan pihak bertanggungjawab perlu diheret ke muka pengadilan.

”Sebarang bentuk tindakan kekerasan hanya akan mengakibatkan krisis semakin
kritikal.

”Kami menyeru kepada komuniti antarabangsa untuk sama-sama mengutuk
dan bertindak tegas terhadap semua bentuk kekerasan dan keganasan.

”Tidak kira pelakunya, demi mengakhiri konflik seterusnya mewujudkan keamanan berkekalan di rantau tersebut dengan berfokus kepada kemerdekaan rakyat dan negara Palestin sebagai agenda utama,” tegas mereka lagi.

BACA JUGA Kartel padi beras? Menteri sekali lagi ulang jawapan ini

Â