Berjaya lakukan sesuatu demi rakyat, Mat Sabu terima ucapan tahniah

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini menerima ucapan tahniah daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah susulan kejayaan beliau mengemudi kementeriannya.

Pengarah Komunikasi AMANAH Kedah, Firdaus Shater berkata, umum mengetahui bahawa negara telah berhadapan dengan krisis makanan terutamanya telur ayam dan ayam sejak beberapa tahun lalu.

“Krisis tersebut meruncing tanpa sebarang tindakan drastik daripada menteri dan kerajaan sebelum ini.

“Setelah Kerajaan Perpaduan mengambil alih tampuk pemerintahan penghujung 2022, Mohamad telah mengambil langkah drastik.

“Langkah itu adalah dengan mengimport telur bagi mencukupkan bekalan dalam negara, di samping beberapa intervensi dan libat urus pemegang taruh turut dijalankan bagi mengatasi gangguan tersebut.

“Mohamad telah berjaya mengemudi kementeriannya dengan cukup baik memasuki tahun yang kedua,” puji beliau dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut Firdaus lagi, atas komitmen tinggi daripada Mohamad, bekalan ayam, telur ayam dan daging dilihat mencukupi sepanjang 2023 sehingga April tahun ini meskipun kerajaan telah menamatkan kawalan harga dan subsidi ayam.

“Lebih membanggakan adalah bekalan ketiga-tiga produk ini juga banyak di pasaran dan dijual pada harga murah ketika musim perayaan, lebih-lebih lagi ketika Ramadan dan Syawal.

“Syabas dan tahniah kepada Menteri, KPKM, Kerajaan Perpaduan dan seluruh rantaian yang terlibat atas komitmen yang tinggi dalam menyediakan sumber makanan buat rakyat pada harga mampu milik,” ujar beliau lagi.

BACA JUGA Usaha dapatkan air bawa kematian di Kelantan