‘Misi gila’ Anwar bukti Perdana Menteri prihatin kebajikan rakyat

Kejayaan mengeluarkan keluarga aktivis Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dari Rafah adalah bukti keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia jelas menggambarkan kebijaksanaan kepimpinan Datuk Seri Anwar yang cukup dihormati dunia sehingga mampu melaksanakan misi yang dilihat mustahil.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesungguhan YAB Perdana Menteri sehingga berjaya menyatukan keluarga Saudara Nadir Al-Nuri, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia.

“Kejayaan ini menzahirkan keprihatinan tinggiPerdana Menteri kepada soal kebajikan rakyat selain daya kebijaksanaan kepimpinan beliau yang cukup dihormati dunia sehingga misi besar menyatukan keluarga saudara Nadir Al-Nuri yang sebelum ini berada di Palestin telah terlaksana dengan jayanya,” kata beliau.

Sementara itu, beliau menyeru semua pihak untuk terus bersama-sama dengan Perdana Menteri bagi menyatakan solidariti kepada perjuangan menuntut keamanan dan kesejahteraan negara Palestin.

“Marilah bersama-sama dengan keberkatan bulan Syawal ini, kita memperkukuh kesatuan dan berdoa kepada Allah Subhanahu Wataala agar dikurniakan kesejahteraan dan keberkatan buat rakyat Palestin,” katanya.

Nadir Al-Nuri menerusi satu perkongsian penuh emosi di Facebook memberitahu, Anwar adalah individu yang bertanggungjawab menjayakan ‘misi gila’ iaitu membawa keluarganya keluar dari Rafah dengan selamat.

Jelas beliau, misi tersebut bukan perkara mudah memandangkan Rafah saban hari berdepan serangan rejim Zionis.

“Namun secara senyap pemimpin negara menghubungi pihak sana; ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah yang lain,” katanya, ikhlas.

Beliau memberitahu, proses evakuasi keluarganya berjalan dengan begitu cepat, teratur dan lancar walaupun penuh dengan 1001 cabaran tersirat. 

BACA JUGA Suspek kes tembak di KLIA hafiz al-Quran, pernah mengaji pondok di Kelantan