Usaha dapatkan air bawa kematian di Kelantan
Seorang lelaki dilaporkan maut selepas tertimbus tanah ketika sedang menurunkan gelung simen di dalam telaga yang baru siap digali di Masjid Kampung Gelam Tok Uban Pasir Mas, Kota Bharu, Kelantan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas Adnan Mat Juri berkata mangsa Mohamad Khairul Jeffry Maarof, 23, dibawa naik dengan bantuan orang awam pada 7.15 malam tadi dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Dia berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.54 petang dan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas digerakkan ke lokasi kejadian.
“Apabila kami tiba di lokasi kejadian pada 6.17 petang, mangsa didapati telah tertimbus dalam telaga yang berkedalaman kira-kira enam meter,” katanya seperti dilapor Bernama.
Adnan berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
BACA JUGA Penduduk Langkawi resah bertahun-tahun hadap ‘ayaq teh-o’, Kedah nak tiru Kelantan?