Kerajaan setuju salur peruntukan kepada pembangkang, tapi kena tunggu ini dulu

Kerajaan bersetuju mempertimbangkan untuk menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Sri Perdana, Putrajaya, petang semalam.

Bagaimanapun kata Fadillah, satu draf Memorandum Persefahaman (MoU) akan disiapkan terlebih dahulu yang kemudian akan dipanjangkan kepada pihak pembangkang sebagai langkah untuk perundingan seterusnya.

“Perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat lebih satu jam yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta dihadiri oleh pemimpin tertinggi parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 19 Mac lalu, Fadillah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang disertai Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin bersama Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee bagi membincangkan isu peruntukan wakil rakyat.

Susulan itu, pada 21 Mac, Hamzah berkata, pembangkang sudah menerima draf dokumen yang memperincikan perkara berkaitan rundingan peruntukan kepada ahli Parlimennya.

BACA JUGA Letusan Gunung Ruang: MAS, AirAsia batal penerbangan