Tiga inisiatif kerajaan khusus buat tentera, semuanya berkaitan kediaman

Projek Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini sedang dilaksanakan merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk memastikan golongan tersebut memiliki rumah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan memberi keutamaan kepada keselesaan dan kesejahteraan warga ATM.

Mohamed Khaled Nordin

”Bagi mencapai matlamat ini, tiga inisiatif melibatkan kediaman dilaksanakan iaitu Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), penyelenggaraan kediaman, dan pemilikan rumah melalui projek SASaR.

”Sukacita saya memaklumkan bahawa kerja-kerja pembinaan SASaR Sungai Besi telah mencapai 65.51 peratus iaitu 21 hari lebih awal daripada jadual. Projek ini dijangka siap pada penghujung 2025.

”Terdapat tiga lagi projek perumahan SASaR yang sedang dibangunkan oleh kerajaan, yang mana dua lagi adalah SASaR Wardieburn (974 unit) dan Setapak (6,400 unit) yang akan bermula sekitar tiga bulan akan datang,” katanya dalam satu catatan di Facebook rasmi beliau.

Menurut Mohamed Khaled lagi, projek perumahan SASaR di Sungai Besi mempunyai 3,500 unit rumah dan ia adalah sebahagian daripada projek perumahan SASaR yang lebih besar.

”Projek-projek yang sedang dijalankan ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk memastikan pemilikan rumah bagi setiap anggota dan veteran ATM, begitu juga kakitangan awam Kementerian Pertahanan dapat dicapai, InsyaAllah,” ujar beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Tinggi.

BACA JUGA Mengapa saya tidak menyertai Pas?