Memang nama pegawai, nombor Kementerian Komunikasi tapi…

Lain macam taktik ‘scammer’ sekarang apabila sudah sampai ke tahap menggunakan nama pegawai dan nombor telefon Kementerian Komunikasi bagi memperdaya mangsa mereka.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching meminta orang ramai berwaspada dengan taktik terbaharu scammer itu.

Sindiket itu didapati menggunakan maklumat pegawai yang tertera di laman sesawang kementerian seperti jawatan, nama penuh dan nombor telefon mereka.

“Memang kami ada terima panggilan orang awam menyatakan telah dihubungi pegawai kementerian, jika disemak memang itu nombor kementerian.

“Pihak scammer menggunakan taktik ‘masking,’ itu cabaran yang kita hadapi.

“Sehingga hari ini, kami dapati dua nama pegawai kementerian telah digunakan bagi tujuan menipu orang ramai,” dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Keluarga Kulai di Kompleks Penghulu Mukim Sedenak, Kulai hari ini.

Dalam masa sama, Nie Ching berkata, pihak kementerian telah memadam 35,500 hantaran media sosial melibatkan unsur penipuan, pelaburan palsu dan perjudian setakat Mac tahun ini.

Menurut Ahli Parlimen Kulai itu, daripada jumlah itu, sebanyak 6,987 hantaran melibatkan pelaburan dan penyamaran, manakala 28,513 hantaran lain melibatkan kegiatan perjudian.

“Kami nasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu terutama yang melibatkan urusan berkaitan kewangan,” tegasnya lagi.

BACA JUGA Beli diesel subsidi guna ‘Fleet Card’