Setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan ada kaedah tersendiri

Parti dalam Kerajaan Perpaduan mempunyai kaedah tersendiri untuk memastikan calonnya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada 17 April lalu.

“… sudah pasti setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan ada kaedah tersendiri untuk memastikan kemenangan calon,” dipetik BH.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk malam tadi.

Lebih 8,000 tetamu daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat hadir ke rumah terbuka di di Kompleks UMNO Bagan Datuk itu.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan selepas penyandangnya, Lee Kee Hiong daripada Pakatan Harapan (PH) meninggal dunia pada 21 Mac lalu.

Kee Hiong, 58, telah berkhidmat sebagai wakil rakyat di Kuala Kubu Baharu sejak tahun 2013.

Mendiang kali pertama mewakili kawasan itu pada 2013 apabila menewaskan Ooi Hui Wen dari MCA dengan majoriti 1,702 undi.

Pekan Kuala Kubu Baharu dibuka pada 6 Mei 1931 selepas banjir besar akibat pecahnya Empangan Kuala Kubu pada 24 Oktober 1883.

Pada PRN Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi dalam pertandingan empat penjuru bersama Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

DUN yang terletak dalam Parlimen Hulu Selangor itu terdiri daripada pengundi Melayu merangkumi 46.4 peratus; Cina (30.7 peratus), India (18 peratus) dan lain-lain (5 peratus).

BACA JUGA Rakyat Malaysia di Iran diminta kekal waspada