Umno perlu bangkit semula…

Bekas tokoh Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mahu melihat kebangkitan Barisan Nasional.

“Saya cuma nak UMNO dan Barisan Nasional (BN) bangkit dan menebus kekalahan. Saya akan buat apa yang saya mampu sehabis baik untuk membantu.”

Demikian kata bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sekali gus menyaksikan beliau mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum atau pemilihan parti itu pada masa akan datang.

Katanya, beliau mahu menumpukan perhatian kepada usaha untuk memperkukuhkan semula parti supaya UMNO dan BN kembali diterima oleh semua lapisan rakyat.

”Saya tidak akan bersara. Selagi hayat dikandung badan, saya akan teruskan perjuangan untuk parti bangkit semula.

”Kita masih ada masa untuk buat kerja mengukuhkan parti. UMNO mampu bangkit jika betul tindakan yang diambil,” katanya lapor BH, hari ini.

Tajuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Salak menyifatkan, jawatan-jawatan yang pernah disandang beliau sebelum ini sebagai sesuatu yang sudah ‘cukup’ buat dirinya.

”Saya bukan nak bertanding jadi wakil rakyat semula. Saya sudah merasa menjadi ahli dewan undangan negeri (ADUN), ahli parlimen, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan timbalan menteri. Cukuplah,” ujar Tajuddin.

Tajuddin yang kini digantung keahlian parti, bagaimanapun tidak menyalahkan parti di atas hukuman berkenaan dan meminta rakyat untuk tidak meninggalkan UMNO.

“Apa yang berlaku pada diri saya bukan kerana parti dan bukan kesalahan parti.

”Yang buat salah adalah orang tertentu, kenapa parti pula yang dihukum? Kita perlu tahu bezakan antara parti dengan individu.

”Jika hari ini orang itu ada di situ, esok lusa dia dah tiada. Jadi, kalau kita buang parti, habislah sedangkan kita mahu parti bangkit semula,” katanya lagi.

BACA JUGA: PKR bakal jadi gergasi politik Malaysia