Nahas helikopter Lumut: ‘Dia kata takut tak sempat makan selepas ini’

“Saya rasa pelik kenapa dia cakap ‘seorang hilang’, masa nak balik pun dia cakap kita jumpa terakhir sudah ini, hari ini semuanya telah terjawab,” demikian kata Noryani Tamadun, 50.

Noryani ialah kakak sulung kepada mangsa nahas pertembungan dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pagi tadi, iaitu Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun, 36.

Mengimbau kembali kenangan ketika Aidilfitri baru-baru ini, Noryani berkata adik bongsunya itu juga ada meminta untuk makan nasi bersama telur goreng dan ikan masin.

”Dia kata takut tak sempat makan selepas ini. Apabila adik cakap takut tak sempat makan, hati saya terdetik kenapa dia cakap macam ini?

”Selain itu pada pagi Aidilfitri, dia ajak kami tiga beradik bergambar, walaupun seorang lagi adik perempuan yang bekerja sebagai polis di Pahang, belum tiba.

“Arwah kata kita ambil gambar bertiga dulu, nanti takut ‘seorang hilang’, nanti kakak balik (adik kerja polis) akan ganti, dia kata mungkin ini gambar terakhir kita,” katanya lapor BH.

Menceritakan lebih lanjut, Noryani berkata kali terakhir mereka sekeluarga berkumpul adalah pada Aidilfitri pertama baru-baru ini, sebelum arwah pulang ke Sabah pada pagi raya kedua.

Susulan berita sedih yang mengejutkan mereka, Noryani menyifatkan dirinya reda dengan pemergian adik bongsunya itu yang lebih dikenali sebagai Adik Mat.

Katanya, arwah sangat manja dengan adik beradik lain dan berhasrat untuk pencen dua tahun lagi.

”Arwah dijangka akan kembali bertugas di Lumut, Perak, hujung tahun ini. Selepas itu dua tahun lagi dia akan pencen dan mahu balik tinggal di rumah peninggalan orang tua kami di Kampung Tanah Hitam, Sik.

“Rumah itu memang arwah ayah beri kepada adik, dia kata nak buat inap desa dulu sebelum dia pencen,” kata kakak sulung arwah itu lagi.

Dalam kejadian 9.30 pagi tadi, dua helikopter yang sedang menjalani raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, dilaporkan bertembung dan terhempas.

TLDM mengesahkan 10 anggotanya meninggal dunia dalam kejadian itu yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.

BACA JUGA Raih 1.6 juta tontonan, ramai terhibur tengok video tauke babi joget ‘Alamak Raya Lagi’