Tular warga asing didakwa bolot minyak masak, ini jawapan KPDN selepas turun terjah
Tular satu video di media sosial apabila seorang wanita mendakwa minyak masak paket 1 kilogram di sebuah pasar raya terkemuka di Iskandar Puteri telah dibolot oleh warga asing.
Menerusi dua rakaman yang dimuat naik di Facebook, dia menunjukkan sebuah troli dengan beberapa paket minyak masak yang didakwa milik seorang warganegara asing yang sedang berbelanja di pasar raya itu
Dia berulang kali menyoal pekerja di pasar raya tersebut tentang di mana kedudukan minyak masak paket, tetapi alasan diberi adalah ia sudah habis.
Pada ketika itu jugalah dia melihat tiga orang warga asing meletakkan minyak masak paket yang dikatakan habis stok itu ke dalam troli mereka.
“Orang Malaysia nak beli bukan main susah, mereka (warga asing) senang sahaja dapat beli barang subsidi,” ujarnya
Berang dengan kejadian tersebut dia mula menyoal pekerja di sana mengapa warga asing diberi keistimewaan untuk barang kawalan yang sepatutnya diberikan kepada warganegara.
Pekerja memaklumkan mereka tidak tahu akan hal tersebut dan minyak itu diberikan oleh seorang wanita kepada warga asing.
“Bukan kami yang bagi, mereka hanya ambil sahaja. Itu hanya ‘display’,” jelas pekerja tersebut.
Biarpun tiada akta yang melarang warga asing untuk membeli minyak masak paket, namun orang awam percaya ia sepatutnya dijadikan hak istimewa warganegara Malaysia sahaja.
Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) Johor menegaskan tiada aktiviti menyorok minyak masak peket bersubsidi seperti didakwa menerusi video tular tersebut.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya mengambil maklum video mengenai video tular itu dan mengarahkan anggota penguat kuasa ke pasar raya berkenaan.
Berdasarkan keterangan pengurus pasar raya dan pemantauan dilakukan, tiada unsur sorokan atau dakwaan mengutamakan warga asing membelinya minyak masak peket berbanding rakyat tempatan.
“Selain itu, pasar raya berkenaan turut mengakui hanya menerima 240 peket minyak masak bersubsidi.
“Jumlah itu bagi KPDN sangat sedikit berbanding premis yang besar dan dikunjungi ramai pembeli,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.
BACA JUGA ‘Turunkan Anwar atau kami…’, padah ugut Agong & PM, pekebun sawit didenda RM12,000