Freedom Flotilla to Gaza: Misi sekali lagi ditunda, dijangka berlepas Jumaat ini

Misi pelayaran ‘Break The Siege: Freedom Flotilla Mission To Gaza 2024’ yang dijadual berlepas hari ini, terpaksa ditunda ke Jumaat ini.

Ahli Jawatankuasa Pemandu Freedom Flotilla Coalition (FFC), Ann Wright, memaklumkan ketika ini, lokasi kapal untuk memulakan pelayaran akan ditukar ke satu lokasi yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menurut Bernama, Wright mengumumkan perkara tersebut menerusi taklimat harian kepada semua delegasi terlibat di Istanbul, Turkiye petang semalam.

Ketika ini, seramai 18 warga Malaysia menyertai masyarakat awam antarabangsa dalam misi yang menggunakan jalan laut itu.

Mereka yang terdiri daripada doktor, aktivis kemanusiaan dan pengamal media belayar menaiki flotila bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa di rantau berkenaan.

Aktivis dari 30 negara termasuk Malaysia kini berkumpul di Istanbul sejak 18 April lalu untuk persiapan akhir sempena misi tersebut.

Pada 21 April lalu, Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Raja Kamarul Bahrin memaklumkan Grand Bazaar di Istanbul, Turki menjadi lokasi peserta Gaza Freedom Flotilla berkumpul bagi menguar-uarkan secara meluas mengenai misi penghantaran bantuan ke Gaza.

Beliau yang turut menyertai misi itu berkata, demonstrasi di hadapan Grand Bazaar itu bertujuan meminta kelulusan awal daripada Kerajaan Turkiye untuk mereka berlepas dalam waktu terdekat ke Gaza dari pelabuhan negara tersebut.

”Disebabkan begitu ramai peserta antarabangsa sudah menunggu di Turkiye, kami mendesak tarikh perlepasan paling awal, memandangkan tarikh asal iaitu pada 12 April telah ditunda,” katanya.

BACA JUGA: Tular warga asing didakwa bolot minyak masak, ini jawapan KPDN selepas turun terjah