Daripada RM500 sebulan, suri rumah di Kelantan raih pendapatan 10 kali ganda selepas sertai IPR

Sebuah keluarga di Kelantan berjaya mengubah kehidupannya dari hanya beroleh pendapatan RM500 sebulan kini melonjak 10 kali ganda lebih tinggi selepas menyertai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Seorang suri rumah, Wan Asikin Wan Hassan, 42, berkata, dia memperoleh hasil jualan antara RM13,000 hingga RM21,000 setiap bulan berkat jualan menu rahmah melalui mesin layan diri (vending machine).

Mesin layan diri itu terletak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan yang sering menyaksikan barisan pelajar sabar menunggu giliran membeli makanan.

“Boleh menambahkan pendapatan saya maksudnya kelengkapan anak (barang persekolahan) itu tak terbebanlah sebab kita dah ada pendapatan.

“Saya tidak lagi terbeban dari segi kewangan kerana kami tahu ada wang masuk,” kata Wan Asikin memetik FMT.

Ibu kepada empat anak berkenaan berkata, selepas menolak kos bahan mentah, dia meraih keuntungan sekurang-kurangnya RM5,000, cukup lumayan berbanding ketika menjual kuih sebelum ini, dengan RM500 sahaja mampu diperoleh.

“Selepas menyertai IPR, saya tumpu sepenuhnya menyediakan makanan dalam mesin layan diri sahaja. Saya tiada masa kepada buat kerja lain kerana sambutan menggalakkan daripada pelajar,” katanya.

IPR merupakan pendekatan jangka sederhana diambil kerajaan bagi membasmi kemiskinan tegar.

Ketika ini, ia menawarkan tiga inisiatif perintis: Inisiatif Usahawan Tani (Intan), Inisiatif Usahawan Makanan (Insan), dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (Ikhsan).

Program terbabit memberi manfaat kepada 4,100 isi rumah sehingga November 2023, menurut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

BACA JUGA Tiga pencapaian anak pemimpin PN yang ‘membanggakan’, giliran siapa pula selepas ini?