PRK Kuala Kubu Bharu: Anak Felda calon PN

Khairul Azhari Saut yang merupakan anak Felda Sungai Tengi dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB).

Beliau merupakan pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor dan menduduki jawatan Pengurus Besar Global Valley Venture Sdn Bhd.

Pemilihannya diumum Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pengumuman Calon PRK KKB malam ini.

Berusia 54 tahun, Khairul memiliki Diploma Eksekutif Pengurusan dari Universiti Malaya (UM) pada 2019.

Bekas Pengurus Besar Petrogas Resources ini juga mempunyai Master Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 2021.

Mahiaddin dalam sidang media selepas pengumuman itu berkata, keputusan PN meletakkan calon Melayu buat julung kali di DUN Kuala Kubu Bharu melangkaui faktor peratusan pengundi mengikut kaum.

Pemilihan Khairul itu juga, jelasnya, mengambil kira maklum balas penduduk setempat, situasi semasa serta beberapa pertimbangan lain.

Menurut Mahiaddin lagi, Khairul juga anak jati Hulu Selangor dan telah lama berbakti di kawasan berkenaan serta dikenali masyarakat setempat.

“PN turut membuat semakan intensif bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Insolvensi ke atas beliau, sebelum dipilih sebagai calon.

“Kita turut mengambil kira aspek karakter, nilai moral dan sebagainya yang ditampilkan beliau sebelum memuktamadkan pemilihan sebagai calon mewakili PN,” kata Mahiaddin lagi.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.

Tahun lalu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, mendiang menewaskan Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.

Kee Hiong juga mengalahkan calon Muda, Dr Siva Prakash mendapat 1,186 undi dan Chng Boon Lai dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) memperoleh 527 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada 27 April, Sabtu ini, diikuti hari pengundian pada 11 Mei.

DUN Kuala Kubu Bharu terdiri daripada 46.4 peratus pengundi Melayu; Cina (30.7 peratus), India (18 peratus) dan lain-lain (5 peratus).

Kawasan yang terletak di bawah Parlimen Hulu Selangor itu pernah diwakili MCA pada 2008.

Bermula 2013 hingga 2023, DUN berkenaan dirampas dan dipertahankan DAP.

BACA JUGA ‘Formula’ Rafizi berjaya bantu rakyat miskin di Kelantan, sembang Sanusi gagal