Risau keselamatan pengguna dalam talian, Fahmi bakal umum perkara penting

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil akan mengumumkan beberapa tindakan berkaitan keselamatan pengguna dalam talian tidak lama lagi.

Beliau berkata, pihaknya juga telah mengadakan sesi pertemuan dengan beberapa wakil penyedia platform media sosial bertujuan menjamin ketelusan dan akauntabiliti penggunaan media sosial.

”InsyaAllah Jun nanti saya akan mengadakan pertemuan dengan semua platform (media sosial) di Singapura (khususnya) mereka yang menguruskan aspek ‘moderation’ dan tentang kepatuhan kepada peraturan (media sosial) bagi setiap negara,” katanya menurut Harian Metro.

Fahmi turut mengingatkan ibu bapa agar berhati-hati memuat naik gambar anak-anak mereka di saluran media sosial.

“Kepada ibu bapa yang ingin mengambil gambar (anak-anak) dan memuat naik gambar, saya mohon berhati-hati.. kita tidak pasti siapa yang akan menyalah gunakan gambar-gambar tersebut.

”Jadi saya sekali lagi mengatakan bukan hanya teknologi kecerdasan buatan (AI) sahaja, tetapi ada beberapa jenayah dalam talian yang kita rasa boleh memangsakan pengguna media sosial terutamanya kanak-kanak, dan mereka yang mungkin tidak fasih (tentang syarat pemilikan akaun media sosial),” ujar beliau lagi.

Dalam perkembangan sama, Fahmi memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang memburu individu yang terlibat dalam penyalahgunaan AI yang menyunting gambar sehingga mengaibkan pengguna media sosial.

Katanya, pengesanan itu dilakukan bertujuan membolehkan tindakan tegas diambil serta memastikan keselamatan pengguna dalam talian khususnya golongan kanak-kanak adalah terjamin.

“Kita sangat risau dan sedang mengambil beberapa tindakan tegas mengenai keselamatan dalam talian.

”Antara lain kita tegaskan bahawa kanak-kanak di bawah usia 13 tahun diharamkan daripada menggunakan sebarang aplikasi media sosial,” ujar beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan.

BACA JUGA Daripada RM500 sebulan, suri rumah di Kelantan raih pendapatan 10 kali ganda selepas sertai IPR