Sistem Saraan Perkhidmatan Awam terbaik pernah diperkenalkan kerajaan bakal diumum

Perdana Menteri berkata, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bakal diumumkan dalam tempoh terdekat adalah antara yang terbaik pernah diperkenalkan kerajaan.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, biarpun terbaik, ia akan membabitkan implikasi kewangan yang tertinggi pernah dilakukan sebelum ini.

“Sistem (SSPA) ini antara yang terbaik pernah diperkenalkan oleh kerajaan dan implikasi kewangannya jugak tinggi, tertinggi yang pernah kita lakukan sebelum ini.

“Ini bukan masalah saudara saudari, masalah kita semua untuk mencari dana lebih, kewangan lebih dan saya akan runding dengan Menteri Kewangan,” jelasnya.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri Persatuan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PPTD) bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Presiden PPTD, Datuk Seri Isham Ishak.

Dalam masa sama, Anwar berkata, setiap kali dalam mesyuarat bersama KSN, KPPA dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), beliau sentiasa mengingatkan supaya tiada kelompok penjawat awam yang rasa tertinggal atau tersisih.

“Kita mahu ambil tindakan SSPA ini secara menyeluruh dan saya mahu (ia) dilakukan bersama dengan reformasi penjawat awam.

“Jadi, saya nak bagi ingatan kepada kelompok, kumpulan di luar termasuk pembangkang jangan mainkan isu ini kerana 12 tahun tidak ada kajian sistem persaraan yang sepatutnya berlaku setiap 10 tahun,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, dengan pengiktirafan kepada penjawat awam menerusi SSPA, kerajaan mengharapkan golongan terbabit dapat menonjolkan prestasi lebih baik dan komited terhadap tugas.

Tegasnya, mana-mana penjawat awam yang malas dan memaparkan prestasi lemah, tidak harus diberikan kenaikan pangkat atau menerima pengiktirafan.

“Maknanya kita juga mengharapkan prestasi lebih baik, kerja lebih serius dan ketua jabatan mesti pantau kerana dalam kelompok yang besar, ada yang malas, ada yang lemah.

“Saya tidak fikir orang yang malas dan prestasi lemah harus diberikan kenaikan pangkat sebagai satu perkara biasa,” katanya.

Selain itu, PMX berkata, segala kemudahan untuk penjawat awam dari Semenanjung ke Sabah Sarawak atau sebaliknya, dikaji semula.

“Kita beri kemudahan tapi kita pilih dan nilai prestasi masing-masing. Kalau teruk, lembab dan malas, saya tidak fikir kita harus berikan pengikitrafan.

“Saya minta KPPA dan pimpinan bincang dengan semua, bagi pandangan tetapi ‘reform’ dalam perkhidmatan awam, dalam erti kata tidak melayani kalangan kecil yang prestasinya sangat lemah,” kata Perdana Menteri lagi.

BACA JUGA Beri lesen kasino di Forest City tidak benar – PM Anwar