Manchester City kini satu mata di belakang Arsenal selepas belasah Brighton

Manchester City dalam memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris kini berada hanya satu mata di belakang pendahulu Arsenal selepas membenam Brighton 4-0 awal pagi tadi.

Skuad kendalian Pep Guardiola berada dalam mood yang hebat di Stadium Amex sebaik Kevin De Bruyne menanduk masuk pada minit ke-17 bagi membolehkan mereka mendahului pada awal permainan.

Lapor AFP dipetik BH, penyerang England, Foden meledak dua gol sebelum rehat pada minit ke-26 dan 34 untuk memastikan kemenangan.

Julian Alvarez kemudian menamatkan kemarau jaringannya pada minit ke-62 bagi memastikan ketiadaan penyerang Erling Haaland tidak dirasai selepas masalah otot mengetepikannya bagi perlawanan kedua berturut-turut.

“Ia keputusan yang bagus buat kami, amat bagus,” kata Guardiola.

“Saya sudah katakan sebelum ini, apa yang kami lakukan sebelum ini, ia tidak bermakna kami akan melakukannya pada masa depan.

“Kami sedar jurangnya amat tipis. Kami perlu menang semuanya. Setiap perlawanan kami semakin menghampiri.”

Kekalahan mengejut Liverpool di Everton awal pagi semalam sesuatu yang dialu-alukan City dalam perebutan kejuaraan selepas Arsenal membelasah Chelsea 5-0 awal pagi kelmarin.

Pasukan Guardiola, yang beraksi kurang satu perlawanan berbanding Arsenal dan pasukan tangga ketiga Liverpool, akan dinobat juara bagi musim keempat berturut-turut jika mereka menang semua lima perlawanan terakhir mereka.

Dengan sekurang-kurangnya empat gol dalam setiap empat perlawanan terakhir liga, City kelihatan mendapat semula prestasi terbaik tepat pada masanya sekali lagi.

Namun Guardiola memberi amaran, “Apa yang berlaku terhadap Liverpool, dua kekalahan berturut-turut, ia boleh berlaku terhadap Arsenal, ia boleh berlaku terhadap kami.

“Apa yang penting kami masih berada di sana. Ada banyak lagi perlawanan yang perlu ditempuhi.”

Berikutnya bagi City, yang tidak kalah dalam 18 perlawanan liga, adalah kunjungan ke Nottingham Forest Ahad ini, manakala Arsenal menuju ke Tottenham hanya beberapa jam sebelumnya.

Guardiola mengeluh dengan jadual perlawanan “yang tidak boleh diterima” yang dipercayainya mampu membahayakan kesihatan pemain, menyalahkan keadaan itu menyebabkan prestasi hambar mereka ketika menang 1-0 ke atas Chelsea pada separuh akhir Piala FA, 20 April lalu.

BACA JUGA Tergamak penyokong pembangkang ini kait dua pemimpin negara dengan tangki najis, masuk neraka