Chegubard ditahan polis akibat hantaran mengenai kasino di Johor

Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Chegubard, ditahan susulan catatannya berhubung pembukaan kasino di Forest City, Johor.

Peguamnya Rafique Rashid Ali berkata, Badrul ditahan di IPD Dang Wangi untuk disiasat di bawah Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.

Lapor media, polis akan memohon perintah reman terhadap aktivis politik itu pagi ini.

Bagaimanapun menerusi satu poster tular tertulis ‘Solidariti 4 Chegubard’, ahli Bersatu itu didakwa ditahan di R&R Tapah semalam sebelum dibawa ke IPD Dang Wangi.

Mengikut dari maklumat yang disebarkan, kes disiasat berkaitan siaran langsung TikTok Chegubard yang mengulas berkenaan Kasino sehingga melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Telefon bimbit dirampas dan kenderaan Chegubars dibawa oleh polis,” demikian kenyataan pada poster yang dimuat naik pengguna X, Suara Anak Muda Official.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Berjaya dan Genting Malaysia menafikan laporan Bloomberg, dengan Anwar menggesa tindakan diambil terhadap syarikat media itu atas dakwaannya.

Bloomberg melaporkan Anwar menemui pengasas Berjaya Corporation Bhd, Vincent Tan dan CEO Kumpulan Genting, Lim Kok Thay untuk membincangkan lesen kasino bagi Forest City minggu lalu.

Laporan yang memetik sumber itu berkata, pembukaan kasino akan memulihkan projek hartanah bernilai USD100 bilion itu.

Badrul dalam catatan Facebooknya menyindir kasino itu adalah “hab kewangan” yang diumumkan Anwar, dan dia berterima kasih kepada Bloomberg serta Business Times menerbitkan artikel berhubung perbincangan itu.

BACA JUGA ‘Kalau dah ditegur tapi tak endah, tukar sahajalah MB ini’, PU Syed ‘sound’ Sanusi