Calon PH sahut cabaran Pas, dedah keputusan SPM 10A, UPSR 7A

Keghairahan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempertahankan calon Perikatan Nasional (PN) dengan mencabar calon Pakatan Harapan (PH) menyatakan latar belakang pendidikannya ketika bersekolah, memakan diri.

Fadhli membuat cabaran agar Pang Sock Tao mendedahkan pendidikan rendah dan menengahnya, selepas calon PN di DUN Kuala Kubu Baharu, Khairul Azhari Saut berdepan kontroversi berkaitan status pengajian.

Tidak langsung melatah, Sock Tao berkongsi keputusan SPM dan UPSR yang menunjukkan keputusannya cemerlang semua A di mana dia memperoleh 10A dalam SPM dan 7A UPSR.

Wanita 31 tahun dari Ampang itu mengambil SPM pada 2010 dan mendapat keputusan semua A, meliputi A+, A dan A-. 

Lebih menarik, pelajar Sekolah Menengah Chung Hua di Port Dickson, Negeri Sembilan itu mendapat keputusan lebih baik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (A) dan Bahasa Inggeris (A+), berbanding Bahasa Cina (A-).  

“Yang Berhormat Pasir Mas, Tuan Ahmad Fadhli Shaari bertanya tentang UPSR dan SPM saya.

“Inilah jawapannya.

“Saya terhutang budi kepada guru-guru yang pernah mengajar saya. 

“Ucapan terima kasih sahaja memang tidak cukup sebagai balasan atas jasa bakti yang telah dicurahkan dalam mendidik saya,” katanya di Facebook.

Terdahulu, latar belakang pendidikan calon PN Kuala Kubu Baharu diragui – kerana tertera beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma pada usia 49 tahun dan menggenggam Master pada umur 51 tahun.

Menerusi poster yang tular, Khairul Azhari dikatakan memperoleh diploma eksekutif pengurusan dari Universiti Malaya (UM) pada 2019 dan sarjana eksekutif dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dua tahun selepas itu.

Orang ramai mempertikaikan bagaimana dia melompat terus ke peringkat sarjana tanpa mengambil ijazah sarjana muda dulu, selain bagaimana dia menghabiskan pengajian pada 2021 ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bagaimanapun pemegang Diploma dilapor boleh melanjutkan pengajian terus ke peringkat sarjana eksekutif di UMPSA dengan kelayakan pengalaman kerja yang ditetapkan serta melepasi pengiktirafan pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu.

“Isu pendidikan calon PN telah selesai. Pihak Universiti (UMP) telah keluarkan kenyataan berhubung kelulusan master (sarjana) eksekutif pengurusan perniagaan yang dimiliki beliau bahkan transkrip sijil juga telah disebarkan.

“Sekarang, saya mencabar calon PH pula untuk nyatakan pendidikan rendah dan menengahnya. Silakan. Di manakah peperiksaan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) dan SPM (Sijil Peperiksaan Malaysia) diambil, tentu menarik untuk diketahui,” kata Ahmad Fadhli.

DUN KKB menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Sock Tap, Khairul, Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (bebas).

Kuala Kubu Bharu dikenali sebagai kerusi campuran dengan pecahan pengundi Melayu (46 peratus), Cina (30 peratus) dan India (18 peratus) dan lain-lain (6 peratus).

BACA JUGA Ini cara Anwar pastikan Malaysia seimbang urus ekonomi antara US dengan China