Dipanggil semula rakam percakapan? Ini reaksi MB Perlis selepas disiasat

Selepas hampir lapan jam disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mengesahkan beliau tidak akan lagi dipanggil untuk dirakam percakapan.

”Tiada.. tiada..,” katanya lapor Kosmo hari ini.

Terdahulu, Mohd Shukri tiba di bangunan Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 10 pagi.

Beliau kemudiannya meninggalkan bangunan agensi antirasuah di Putrajaya itu pada jam 6.55 petang tadi.

Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis berkata, beliau disiasat melibatkan pelbagai kes.

”Macam-macam (saya disiasat) kes, saya pun tak pasti,” ujar beliau lagi.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan Mohd Shukri telah dibebaskan dengan jaminan SPRM, namun tidak mengulas lanjut perkara berkenaan.

Difahamkan, Mohd Shukri dipanggil ke SPRM bagi membantu siasatan berhubung beberapa dakwaan dipercayai membabitkan beliau dan anaknya.

Pada 24 April lalu, Bernama melaporkan Mohd Shukri menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan selepas anaknya ditahan badan penguatkuasa itu.

Katanya, beliau sudah maklum mengenai penahanan anaknya dan menyerahkan kepada budi bicara SPRM.

SPRM menahan reman anak lelaki Mohd Shukri dan lima lagi yang lain bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan dokumen dan tuntutan palsu bernilai RM600,000 sejak dua tahun lalu.

Badan penguatkuasa anti rasuah itu menahan kesemua mereka ketika hadir bagi dirakamkan keterangan di Pejabat SPRM Perlis, 23 April lalu.

BACA JUGA Lapan jam diambil keterangan, apa nasib MB Perlis selepas ini?