Rupa-rupanya bukan sebab diboikot, ini punca KFC Malaysia tutup 100 cawangan

QSR Brands (M) Holdings Bhd, pemegang francais restoran KFC di Malaysia, menutup lebih 100 cawangan restoran makanan segera itu.

Biarpun diduga penutupannya ekoran boikot sejak setengah tahun yang lalu, namun QSR Brands memaklumkan langkah menutup sejumlah kedai disebabkan peningkatan kos perniagaan.

Selain itu ia untuk memberi tumpuan kepada zon perdagangan yang mempunyai pembabitan tinggi, sebagai tindak balas kepada keadaan ekonomi semakin mencabar.

Bagaimanapun, pekerja di kedai yang terjejas (ditutup) sudah ditawarkan peluang untuk berpindah ke cawangan lain, sebagai sebahagian daripada strategi taktikal mengoptimumkan sumber dalam zon perdagangan dengan keterlibatan pelanggan yang lebih tinggi.

Kata organisasi itu keutamaan mereka adalah menyumbang secara positif kepada masyarakat Malaysia, mengekalkan kecintaan jenama terhadap KFC dan melindungi pekerja.

“Pekerja dari cawangan yang terjejas ditawarkan peluang untuk berpindah ke kedai operasi yang lebih sibuk sebagai sebahagian daripada usaha pengoptimuman semula syarikat,” katanya.

Menurutnya, sebagai sebuah syarikat yang berkhidmat kepada rakyat Malaysia selama lebih 50 tahun, tumpuan QSR Brands kekal pada penyediaan produk dan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan.

Ia juga menyumbang secara positif kepada ekonomi Malaysia melalui jaminan pekerjaan untuk 18,000 ahli pasukan di Malaysia, yang mana, kira-kira 85 peratus adalah Muslim.

“QSR Brands terus menjadi antara pembayar cukai terbesar di Malaysia dan berbangga kerana dapat memberi kembali kepada masyarakat melalui KFC Add Hope dan Dana Zakat Wakalah.

“Kami amat percaya rakyat Malaysia akan mengiktiraf asal usul kami, keikhlasan kami dan kerja keras kami dalam menyumbang kepada ekosistem Malaysia,” katanya menjawab mengenai laporan yang menyatakan lebih 100 cawangan KFC ditutup.

QSR Brands ialah syarikat tempatan dimiliki oleh usahawan Malaysia yang mengendalikan perniagaan 850 restoran francais KFC di Malaysia, Singapura, Brunei dan Kemboja, juga lebih 480 restoran Pizza Hut di Malaysia dan Singapura.

BACA JUGA 7 ‘kekuatan Pas’ dalam lahirkan pentaksub yang luar biasa