Selepas tiga penggal pertahan KKB, ini sikap DAP hadapi PRK

Walaupun telah tiga penggal mempertahan Kuala Kubu Bharu (KKB), DAP dan Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengambil mudah terhadap cabaran pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching, berkata pihaknya akan berkempen sehingga detik terakhir.

“Saya rasa ini baru hari keempat dan kita faham untuk sesuatu PRK kadar keluar mengundi dijangka rendah. Jadi, saya rasa itu merupakan antara cabaran kami.

“Kami akan berkempen sampai saat terakhir dan akan ‘go all out’ dalam kempen ini kerana saya rasa kempen ini penting bukan sahaja untuk DAP dan PH tetapi ia juga penting untuk kerajaan negeri Selangor,” katanya, dipetik BH.

Nie Ching berkata demikian selepas mengiringi calon PH daripada DAP, Pang Sock Tao dalam tinjauan mesra di pekan Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Dalam pada itu, mengenai calon yang ditampilkan mewakili PH, Nie Ching berkata, rata-rata penduduk di sekitar Kuala Kubu Bharu selesa dan mesra dengan calon walaupun bukan berasal dari kawasan terbabit.

“Kami akan menumpukan kepada usaha untuk menarik pengundi luar balik ke kampung halaman pada hari pengundian nanti.

“Cabaran itu perlu ditangani memandangkan ramai anak muda, khususnya pengundi di Kuala Kubu Bharu bekerja di Kuala Lumpur dan tempat lain.

“Kita faham untuk sesuatu PRK cabaran yang perlu ditangani adalah peratusan keluar mengundi rendah.

“Jadi, inilah tumpuan yang perlu diberikan,” kata Nie Ching lagi.

BACA JUGA Papagomo ditahan aibkan Agong

Â