Malaysia terima pelaburan terbesar dari Microsoft lebih RM10 bilion

Malaysia akan menerima pelaburan terbesar sebanyak RM10.5 bilion dari Microsoft Corporation untuk membangunkan infrastruktur awan dan kecerdasan buatan (AI), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, jumlah itu adalah pelaburan terbesar pada satu-satu masa oleh Microsoft setelah bertapak selama 32 tahun di Malaysia.

“Terima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella serta delegasi di Putrajaya hari ini.

“Satya memaklumkan bahawa gergasi teknologi Microsoft bersetuju untuk menambah pelaburan berjumlah AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam tempoh empat tahun mendatang,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu kata Anwar yang juga Menteri Kewangan, pelaburan itu akan membuka 300,000 peluang pekerjaan berkaitan kemahiran teknologi AI.

“(Pelaburan akan meweujudkan) peluang kemahiran AI untuk tambahan 300,000 orang, penubuhan satu Pusat Kecemerlangan AI Nasional, mempertingkat kemampuan keselamatan siber negara dan menyokong pertumbuhan komuniti pembangun sistem di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Anwar yang juga menteri kewangan menjelaskan pelaburan itu membuktikan keyakinan kepada asas ekonomi negara kukuh, dasar-dasar jelas dan terarah, selain mesra pelabur serta kestabilan politik.

“Pelaburan ini selari dan akan menjadi pendukung utama kepada fokus kerajaan dalam membangunkan kapasiti AI dalam negara,” katanya.

Anwar dan Satya juga turut menghadiri Forum Kepimpinan Nasional AI di mana kedua-duanya berdialog teknologi AI dan perancangan kerajaan bagi mempersiapkan negara dengan arus perubahan.

“Semoga kerjasama Malaysia dan Microsoft ini dapat membawa manfaat yang cukup besar kepada negara dan rakyat keseluruhannya,” katanya.