MB Kelantan bangkitkan isu air, kemiskinan dalam pertemuan dengan PMX

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud antara lain membangkitkan isu air dan kemiskinan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, hari ini.

Turut dibangkitkan oleh Nassuruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meranti ialah isu berkaitan jalan raya dan jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Dalam masa sama, beliau menyifatkan pertemuan empat mata bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendapat maklum balas positif.

“Alhamdulillah (pertemuan) mendapat maklum balas positif daripada Perdana Menteri.

“Dalam pertemuan empat mata bersama Perdana Menteri, antara perkara yang saya bangkitkan adalah isu air, jalan raya, jajaran ECRL ke Rantau Panjang dan kemiskinan di Kelantan.

“Doakan yang terbaik,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.

Nassuruddin mengadakan perjumpaan tertutup bersama Perdana Menteri untuk berbincang mengenai pembangunan Kelantan di Kota Darulnaim, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Anwar menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI peringkat negeri di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong malam ini.

BACA JUGA ‘Hadaplah sendiri, dah tukar jadi nasi kerabu’