PRK KKB: ‘Kita tak mahu sampai ke tahap mendahului mereka’

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menyatakan bahawa dirinya akan hadir ke Kuala Kubu Baharu bagi membantu jentera Perpaduan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) di sana pada 11 Mei nanti.

Mengenai jangka masa bila beliau akan datang ke Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut, katanya ia tertakluk kepada jadual yang ditetapkan.

”Memang kita kena akui kalau calon itu daripada AMANAH, memang AMANAH kena full force dan mungkin kita juga akan bermukim di situ.

”Tetapi calon Pakatan Harapan ini (Pang Sock Tao) daripada parti lain yang mempunyai kekuatannya tersendiri.

”Jadi, kita tidak mahulah sampai ke tahap kita pula mendahului mereka,” katanya dalam rancangan bual bicara di Jom Channel yang bertajuk ‘PRK KKB: Menangkan calon Perpaduan?’

Justeru beliau yang juga bekas ahli parlimen Shah Alam berkata, pihaknya mahu menumpukan kepada tugasan yang telah diberikan beserta jadual dan strategi yang sudah ditetapkan pada PRK kali ini.

”Ia supaya kita dapat menentukan bahawa kemenangan akan memihak kepada calon Kerajaan Perpaduan iaitu Pang Sock Tao,” ujar Khalid yang komited mahu membantu jentera Perpaduan menawan kerusi di DUN berkenaan.

Sock Tao adalah calon daripada DAP dan merupakan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Pada PRK kali ini, beliau akan berentap dalam pertembungan empat penjuru bersama calon lain yang bertanding.

Mereka terdiri Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut dari Perikatan Nasional (PN).

Dua lagi calon yang akan berebut kerusi di utara Selangor itu adalah Hafizah Zainuddin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

PRK diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong yang mewakili PH pada 21 Mac lalu.

Pada pilihan raya negeri tahun lalu, Kee Hiong berjaya mempertahankan kerusi DUN itu dengan majoriti 4,119 undi apabila mengalahkan Teoh Kien Hong (Gerakan), Siva Prakash Ramasamy (MUDA) dan Chang Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia).

BACA JUGA Calon muda Perpaduan di KKB di mata MB Selangor