Guan Eng yakin tak buat salah, ikrar akan bersihkan nama

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menegaskan yang beliau tidak akan berhenti untuk membersihkan namanya daripada tuduhan rasuah.

Beliau juga percaya dirinya bersih daripada tuduhan rasuah yang dikaitkan dengannya.

”Saya percaya bahawa saya bersih, saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membersihkan nama saya, isteri (Betty Chew) saya dan Li Koon (Phang Li Koon) di mahkamah.

“Terima kasih kepada penyokong-penyokong, saya akan teruskan perjuangan kita,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang tadi.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan Guan Eng dan isterinya serta ahli perniagaan, Phang Li Koon untuk membatalkan tuduhan rasuah terhadap mereka membabitkan projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Rofiah Mohamad, pagi tadi.

Dalam pada itu, sebaik prosiding tersebut berakhir, peguamnya, RSN Rayer ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya menerima dan akur dengan keputusan mahkamah.

“Setelah meneliti alasan penghakiman yang dikeluarkan oleh mahkamah, besar kemungkinan satu notis rayuan akan difailkan di Mahkamah Rayuan.

“Di samping itu, kami akan membuat permohonan untuk pergantungan perbicaraan di Mahkamah Tinggi sehingga keputusan Mahkamah Rayuan diterima,” katanya. 

BACA JUGA Nasi Lemak kini mendunia sampai ke Shanghai