Kebebasan Media: Malaysia di kedudukan 107, jauh lebih baik berbanding zaman PN

Malaysia berada di kedudukan 107 dalam Indeks Kebebasan Media yang dikendali Wartawan Tanpa Sempadan (RSF), Paris. 

Angka itu menyaksikan kedudukan Malaysia jatuh 34 tangga berbanding di tempat 73 tahun lepas.

Namun angka itu masih lagi tidak melepasi kedudukan terburuk yang pernah dicatatkan Malaysia pada tahun 2021 dan 2022.

Tempoh itu merupakan pentadbiran Perikatan Nasional yang menyaksikan Indeks Kebebasan Media berada di kedudukan 119 dan 113.

Indeks itu kemudiannya memulih pada 2023 dalam tempoh setahun selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneraju Putrajaya.

Antara hal yang memburukkan indeks negara sewaktu pentadbiran PN adalah penubuhan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang sebelum ini bertindak sebagai unit propaganda. 

PN ketika itu memperuntukkan RM85.5 juta untuk menghidupkan semula jabatan itu, namun tidak berjaya menaikkan indeks kebebasan media.

Pakatan Harapan ketika pentadbiran bersama Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya memulihkan indeks tersebut dengan merekod kedudukan di tangga 123 pada 2019 dan bertambah baik pada 2020 di kedudukan 101.

Namun indeks tersebut jatuh merudum selepas pentadbiran dirampas PN melalui Langkah Sheraton.

Langkah Sheraton membabitkan sebahagian besar pemimpin Bersatu dan PKR yang lompat untuk bekerjasama dengan BN serta Pas.

Kali ini pada 2024, indeks jatuh 34 tangga yang didakwa berpunca daripada tindakan kerajaan menyekat laman berita yang mengkritik kerajaan.

Sekatan itu antaranya melibatkan UtusanTV yang digerakkan oleh bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) serta MalaysiaNow.

Malaysia kini berada di kelompok negara seperti Maldives (106) dan Burundi (108).

Kedudukan bagi negara-negara lain di Asia Tenggara seperti berikut: Indonesia (111), Brunei (117), Singapura (126), Filipina (134), Kemboja (151), Laos (153), Myanmar (171) dan Vietnam (174).

BACA JUGA Nasi Lemak kini mendunia sampai ke Shanghai