Hasil padi guna konsep Smart SBB ala Sekinchan di Kelantan meningkat drastik

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Ustaz Muhammad Husain memaklumkan bahawa hasil pengeluaran padi di Pasir Puteh, Kelantan meningkat drastik.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan itu berkata, petani di Bendang Tok Ajam gembira dengan hasil yang diperoleh daripada amalan Smart Sawah Padi Berskala Besar (Smart SBB) Ala Sekinchan.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Bendang Tok Ajam pagi ini bagi memenuhi undangan petani di kawasan terbabit.

“Alhamdulillah, saya melihat para petani yang bersama mengusahakan sistem tanaman ala Sekinchan ini ternyata bersyukur dan gembira dengan hasil yang diperolehi.

“Jelas berlaku peningkatan hasil drastk setelah usaha keras pelbagai pihak untuk melihat para petani berjaya dalam tanaman padi,” kongsinya di Facebook.

Sehubungan itu, UMH berkata, beliau menyampaikan perkembangan menggembirakan pesawah di Kelantan terutamanya di Bendang Tok Ajam kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

“Berita baik ini saya panjangkan kepada sahabat saya YB Menteri Pertanian Mohamad Sabu atas usaha keras beliau memastikan para petani dapat meningkatkan hasil.

“Tidak kira apa kaedah yang diperkenalkan sekalipun, namun motifnya tetap sama iaitu memastikan hasil padi meningkat.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah berlaku pengurangan tanam pertanian drastik akibat daripada aktiviti pembangunan.

“Jadi, pihak kerajaan telah mengambil langkah proaktif iaitu meningkatkan hasil tanaman padi di tanah yang ada,” kata UMH lagi.

Dalam masa sama, beliau mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang bertungkus-lumus memastikan usaha murni ini menjadi kejayaan.

“Ianya bukan telah berakhir tetapi usaha ini baru bermula.. Sirru ala barakatillah,” kata UMH lagi.

BACA JUGA Pas anggap terlalu awal bincang pertukaran MB Perlis