Pulau Pinang bakal dapat bekalan air dari Perak
Pulau Pinang bakal menerima bekalan air dari Perak melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian ke Seberang Perai.
Pembekalan air kepada Pulau Pinang itu dipersetujui Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“… kita menerima berita baik kerana Tuanku Sultan Nazrin dan kerajaan negeri, Menteri Besar Datuk Seri Saarani bersetuju untuk menyediakan bekalan air dari Sungai Perak dan mengalir melalui industri hijau Kerian dan sekurang-kurangnya ke Seberang Perai.
“Fasa pertama akan sampai ke Seberang Perai termasuk Nibong Tebal dan Sungai Bakap.
“… saya (juga) percaya dengan hubungan yang lebih baik dengan Kedah sejak akhir-akhir ini, mudah-mudahan dapat kekal.
“Saya percaya boleh dirunding cara yang lebih profesional keperluan Pulau Pinang bekerjasama dengan Kedah dari soal perbekalan air,” katanya, lapor Bernama.
Anwar berkata demikian berucap dalam Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara yang diadakan serentak dengan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Pulau Pinang, hari ini.
BACA JUGA Kempen PN dijangka ‘menggila’ selepas usaha serang kerajaan tak berhasil