Alamak, ini rupanya sebab ada segelintir penjawat awam makin gelisah

Semua penjawat awam diminta memantau dan mengenal pasti kakitangan kerajaan yang merosakkan nama baik perkhidmatan awam.

Perdana Menteri menegaskan, mereka yang didapati malas, cuai dan tak hadir kerja, tidak boleh menerima layanan yang sama, termasuk mendapat kenaikan gaji.

“Ada yang pertikai, kalau di sekolah, mungkin lebih 90 peratus guru menjalankan tanggungjawab. Ada guru yang cuai. Ada yang kadang-kadang tak hadir.

“Begitu juga masalah di jabatan. Ada golongan kecil rasuah, tak datang kerja … pelbagai masalah. Apakah kita harus beri layanan yang sama?

“Saya jawab tidak. Kita tak akan beri layanan yang sama. Jadi, sementara kita berikan satu anjakan radikal dari segi pengiktirafan dan habuan kepada penjawat awam, saya minta saudara untuk mengawal sendiri dan jabatan.

“Kenal pasti orang yang merosakkan nama baik penjawat awam,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Dalam masa sama, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu penjawat awam mengekalkan integriti supaya ia setimpal dengan pengiktirafan dan keyakinan kerajaan berikan melalui pelarasan gaji Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Jelasnya, penjawat awam juga perlu faham bahawa kerajaan bertanggungjawab dan komited melaksanakan pelarasan gaji terbabit walaupun negara mewarisi hutang, defisit selain berdepan masalah ketirisan yang masih berlaku.

“Tetapi komitmen kita bagi membantu dengan dana yang ada bagi masyarakat miskin majoriti Melayu Bumiputera, ada kelompok kecil Cina di bandar dan masyarakat India yang relatif miskin terutama di estet dan pinggir bandar, itu komitmen tidak boleh dipertikai.

“Walaupun dalam dunia politik, itu menjadi perbahasan, saya tidak ada masalah tetapi tanggungjawab kita, komitmen kita harus diteruskan,” tegas Anwar lagi.

BACA JUGA Petugas Pas risau, PN tunggang mereka dalam PRK KKB