Akhirnya padi akan ditanam guna kaedah baru, paling penting tahan kemarau

Kerajaan akan melaksanakan kaedah tanaman padi menggunakan sistem air bawah tanah sebagai persediaan menghadapi cuaca panas yang dijangka lebih buruk tahun hadapan.

Lapor Bernama, sistem berkenaan didapati lebih efektif kerana ia boleh dikawal dan mengelakkan kebergantungan kepada air hujan.

Menurut Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi, Datuk Azman Mahmood, projek perintis kaedah ini sudah dilaksanakan di kawasan jelapang Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar, Sawarak dan jika berkesan ia akan diperluaskan ke seluruh negara

“Berdasarkan cuaca semasa, penanaman padi tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada air hujan dan saliran semata-mata,” katanya seperti dilapor ketika Majlis Dialog dan Perasmian Penuaian Padi Sempena Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) KADA Kemasin.

Azman berkata sumber air mungkin menjadi semakin terhad pada masa akan datang selain bersaing dengan penggunaan domestik, sedangkan tanaman padi memerlukan air yang mencukupi untuk peningkatan hasil tuaian.

Sementara itu, penggunaan benih padi yang lebih tahan terhadap cuaca dan penyakit akan digunakan bagi mengatasi perubahan cuaca semasa.

“Kami bercadang memperkenalkan 12 varieti benih padi untuk tujuan itu yang kita dapati boleh dituai dalam tempoh 80 hari seperti mana yang digunakan di negara Thailand, Indonesia dan Vietnam berbanding tanaman dalam tempoh 110 hari yang diamalkan di Malaysia ketika ini.

“Kita jangka benih ini akan digunakan petani awal 2026 kerana sekarang masih dalam plot kajian untuk melihat kesesuaian benih berkenaan dengan cuaca di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, penggunaan benih padi berkenaan yang dapat mengeluarkan hasil dalam tempoh yang lebih singkat akan membolehkan semua jelapang padi mengamalkan penanaman padi dua kali setahun sekali gus meningkatkan keluaran hasil padi negara.

“Setakat ini, hanya 60 peratus kawasan padi ditanam secara dua kali setahun di negara ini manakala 40 peratus lagi ditanam sekali setahun,” katanya.

BACA JUGA Individu ‘berani mati’ kaitkan dua parti kerajaan terlibat insiden pemain bola sepak