Tegap, rendang pokok itu ketika kukuh kini tular
”Pokok tu dah menyaksikan pembangunan KL. Kalau dia bercakap, mesti banyak cerita dia boleh sampaikan.”
Itu komentar Cifortius, seorang pengguna media sosial selepas ‘mengimbas kembali’ gambar pokok sebelum ia tumbang di Jalan Sultan Ismail, petang semalam
Video throw back dimuat naik oleh areezsha berdurasi 1 minit 54 saat itu memaparkan pokok yang berusia lebih 50 tahun itu, masih teguh di tempatnya berlatar belakangkan kenderaan lalu-lalang di situ.
Sejak kejadian pokok tumbang itu berlaku, warga maya dilihat berkongsi pengalaman yang lalu mengenai pokok tersebut.
”Pokok tu dah besar sejak aku kerja tahun 1983. Bangunan buruk-buruk je kat situ.
”Pokok ini jadi saksi keadaan KL daripada cuma ada beca dan basikal sampai sesak dengan macam-macam kenderaan,” demikian antara komen daripada pengguna laman itu.
Seorang lagi warga maya dikenali tasnim, menyifatkan keberadaan pokok itu di situ sebelum ini menyebabkan suasana di sekeliling menjadi redup.
”Redup pokok ni sejuk je lalu, selamat tinggal pokok dan terima kasih,” ucap wanita itu.
Dalam kejadian pokok tumbang petang semalam, seorang maut manakala seorang lagi dilaporkan cedera.
Mangsa pertama adalah seorang lelaki berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan, manakala mangsa kedua juga seorang lelaki berusia 26 tahun turut mengalami kecederaan.
BACA JUGA Tengku Amir Shah ziarah ‘Mickey’