Adik korban pokok tumbang rupanya kerja dengan JKM, apa kata menteri?

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mengikuti perkembangan keluarga mangsa pokok tumbang, Allahyarham Md Rizal Atan dari masa ke semasa bagi meringankan beban mereka.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya akan melihat keperluan dan bantuan yang boleh diberikan kepada keluarga berkenaan.

”Kebetulan adik Allahyarham bekerja dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ini membuatkan kami lebih mudah untuk mengetahui kisah keluarga ini,” katanya dipetik BH.

Terdahulu, Nancy meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk menziarahi isteri dan empat anak mangsa yang berada di kediaman adik serta ibu bapa mangsa di Seksyen 24, Shah Alam.

Menurut Nancy, ziarah hari ini turut disertakan dengan sumbangan daripada Yayasan Kebajikan Negara iaitu wang tunai RM3,000 serta makanan untuk meringankan bebanan keluarga mereka.

“KPWKM sentiasa ada untuk membantu (keluarga mangsa), kita juga ada kaunselor untuk membantu memberikan sokongan moral dan sebagainya.

“Sekarang masih terlalu awal (kena beri tempoh bertenang untuk keluarga) tetapi kita akan mengikut perkembangan keluarga ini dari masa ke semasa,” ujar beliau lagi.

Pada 7 Mei lalu, Md Rizal, 47, yang bekerja sebagai pemandu peribadi maut dihempap pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, di ibu negara.

Allahyarham dalam perjalanan ke sebuah hotel untuk menjemput tetamu syarikat majikannya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, selain Md Rizal, dua lagi cedera selepas sebatang pokok tumbang di atas jalan raya dan menghempap 17 buah kenderaan serta landasan monorel.

Jenazah Md Rizal dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam selepas dimandi dan disolatkan di Masjid Al-Ehsan, Seksyen 24.

BACA JUGA ‘Kura-kura dalam perahu, Pas jangan pura-pura tak tahu…’