‘Bertenang… jangan timbulkan spekulasi tidak berfakta’

Angkatan Muda Keadilan (AMK) berharap masyarakat bertenang dan tidak menimbulkan sebarang spekulasi tidak berfakta susulan insiden membabitkan tiga pemain bola sepak di negara ini.

Ketua Biro Sukan AMK, Aziz Shari berkata, ini kerana kejadian berkenaan sedang disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Beliau menyifatkan, sukan adalah medium perpaduan yang kuat menyatukan bangsa Malaysia dan melalui sukan itu, dilihat tiada lagi ideologi bangsa dan agama.

”Cukup anda ingin mengharumkan nama negara, maka pelusuk anak bangsa akan menyokong anda.

”Jangan sampai kejadian seperti ini menyebabkan sukan terutamanya bola sepak dianggap tidak selamat untuk anak muda kita.

”Sukan sepatutnya mengharmonikan dan bukan menyuramkan kehidupan masyarakat di tanah pertiwi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan itu, beliau berharap kejadian sedemikian tidak akan berlaku lagi dan pesalah dikenakan tindakan sewajarnya.

”Kami mewakili suara anak muda di negara ini mengecam sekeras-kerasnya keganasan terhadap tiga atlet bola sepak Malaysia yang pastinya menjejaskan imej sukan tanah air.

”Bersama kita berdoa agar atlet kita kembali pulih dan beraksi di pentas tempatan dan antarabangsa,” ujar beliau lagi.

Insiden melibatkan atlet tempatan bermula apabila pemain Terengganu FC yang juga pemain skuad negara, Akhyar Rashid menjadi mangsa samun dalam kejadian di Terengganu pada 2 Mei lalu.

Pada 5 Mei pula, pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim dihampiri dua individu bermotosikal sebelum mereka bertindak menyimbah asid kepadanya di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara.

Faisal kemudian dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Petaling Jaya untuk menerima rawatan.

Terbaharu iaitu kelmarin, cermin kereta pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim pula dipecahkan menggunakan tukul besi.

Media melaporkan, kenderaan Safiq diserang dua lelaki bermotosikal di Jalan Seri Gelam, Johor Bahru.

Menurut laporan polis yang dibuat Safiq, kejadian itu berlaku jam 10.05 malam ketika dia memandu kereta dari Pusat Latihan JDT menghala ke Pantai Lido.

BACA JUGA Selepas pecahkan cermin kereta, lelaki bermotosikal tunjukkan ini kepada Safiq Rahim