Sah! Piala Sumbangsih dibatalkan, JDT dapat tiga mata

Badan penganjur liga, Malaysian Football League (MFL) mengesahkan aksi Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Selangor FC (SFC) dibatalkan susulan keputusan SFC untuk tidak hadir menyertai perlawanan berkenaan.

MFL dalam kenyataan mengesahkan aksi yang juga merupakan perlawanan pertama Liga Super melibatkan kedua-dua kelab itu, berakhir dengan kemenangan 3-0 kepada JDT selepas Selangor melakukan ‘walkover’

Justeru, skuad Harimau Selatan turut mendapat tiga mata pertama bagi musim 2024/25.

MFL menjelaskan perkara lain berhubung penarikan diri SFC itu akan diputuskan selepas mesyuarat bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“Keputusan SFC itu dimaklumkan menerusi surat rasmi yang dihantar kepada MFL sekali gus menyaksikan JDT bakal diberikan kemenangan ‘walkover’ dengan jaringan 3-0.

“Perkara-perkara lain juga berkenaan penarikan diri itu akan dibawa ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi tindakan selanjutnya,” maklum badan itu, hari ini.

Terdahulu, skuad merah kuning bimbingan Nidzam Jamil mengambil keputusan untuk tidak hadir ke perlawanan berkenaan yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri esok.

Keputusan itu dibuat kelab terbabit selepas MFL menolak permohonan mereka untuk menunda aksi berkenaan.

Dalam kenyataan malam tadi, SFC memaklumkan keputusan sukar untuk tidak hadir ke perlawanan itu diambil selepas penelitian dan perbincangan terperinci dengan pelbagai pihak.

Sebelum ini, SFC mengemukakan permohonan kepada MFL untuk menunda aksi tersebut atas faktor keselamatan, namun permohonan itu ditolak MFL yang menjelaskan semua perlawanan minggu ini akan berlangsung mengikut jadual ditetapkan.

BACA JUGA Nyawa, keselamatan pemain lebih utama, bukan menang piala – Sultan Selangor