Hangus terbakar menjelang Subuh, pemilik 26 motosikal di universiti ini berputih mata

Penghuni asrama lelaki Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Pauh, Arau gempar menjelang waktu Subuh tadi apabila api marak bernyala di kawasan parkir kenderaan.

Akibatnya, sebanyak 26 motosikal musnah dan 10 lagi mengalami kerosakan kecil.

Menurut Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 4.43 pagi.

“Punca kebakaran masih belum diketahui dan masih menunggu laporan pemeriksaan dari Forensik Bomba.

“Pegawai Penyiasat Jenayah telah melawat tempat kejadian untuk siasatan awal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, operasi memadam kebakaran tamat pada 5.52 pagi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis Penguasa Kanan Bomba I Mohd Zaidi Ma’at berkata, operasi itu melibatkan seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Arau.

BACA JUGA Siap disebut dalam portal rasmi Majlis Daerah Tanjung Malim, rupanya lama tak perbaharui sijil halal